Wednesday, March 23, 2011

Bonda Agong disemadi


Marilah kita semua sedekahkan Al-Fatihah kpd bonda sultan n agong kesygn kita nie.. Semoga roh bonda baginda dicucuri rahmat dan ditptkan di kalangan org2 yg solehah.. Aminn.. 


PILU...Tuanku Mizan menyiram air mawar di pusara bondanya di makam diraja.
PILU...Tuanku Mizan menyiram air mawar di pusara bondanya di makam diraja.

Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Kemangkatan baginda yang berusia 78 tahun di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada jam 1.22 pagi semalam, diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan semalam. Jenazah Almarhum dibawa pulang ke sini menggunakan pesawat khas C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan TUDM Subang, Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 11.45 pagi selepas 25 minit ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah serta keluarga dengan pesawat berasingan.

Antara yang turut berada di Pangkalan TUDM ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Sebaik tiba di Kuala Terengganu, jenazah Almarhum dibawa ke Istana Maziah untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir mulai jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang.

Jenazah kemudian diletakkan dalam pedati khas dan ditarik dari Istana Maziah kira-kira jam 3.15 petang untuk perjalanan sejauh empat kilometer dengan penuh adat istiadat sebelum tiba di makam diraja kira-kira jam 4 petang diiringi 64 pegawai Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) selepas disembahyangkan di Istana Maziah.

Turut mengiringi jenazah adalah Yang di-Pertuan Agong dan anakanda baginda, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, keluarga diraja serta ahli Exco kerajaan negeri dan ketua pelbagai jabatan kerajaan serta swasta.

Almarhum dimakamkan bersebelahan pusara suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah di Makam Diraja itu dan Mufti Negeri, Datuk Dr Alias Abdullah membacakan talkin serta doa yang turut diaminkan kaum kerabat diraja dan rakyat jelata.


Terdahulu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhum yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

No comments:

Post a Comment